Monday, August 23, 2010

Sudah cukup buatku....

Sayang,
    kau tahu betapa kasihnya aku padamu, seandainya kita berjauhan sekalipun, tidak sedikit pun berkurangan kasihku terhadapmu, kau tahu aku selalu memuji- muji dirimu, dan nama kau juga sentiasa ku sebut-sebut tatkala kita berjauhan, cukuplah  untuk aku mengisi rasa , tatkala rasa rindu mengetuk ruang hati, kerana akal sering berperang dengan perasaan sendiri, rasa cemburu dan curiga menjadi teman tika menanti terlalu lama saat kau kembali.

sayang,
    kau tahu aku bahagia menjadi isterimu, hadirmu bagaikan pahlawan yang diutuskan untuk menjaga siang dan malamku, aku ingin kau merasakan sebenarnya cinta  dariku dan kita leburkan sahaja segala kepahitan yang pernah kita lalui. aku hanya ingin kau setia, kerana setia itulah sudah cukup membahagiakan aku. Rela menyerahkan seluruh hidupku  demi melihat kau bahagia. Tika ini aku lebih menjadi dewasa, kerana aku mahu bijak mengatur kehidupan tatkala berdepan dengan ujian, aku perlu kuat laksana perisai saat aku berdamping denganmu.

sayang,
aku manusia biasa yang lemah, terkadang aku bagaikan terputus harap, kerana keegoan yang dijulang hingga terlupa pada asal niat tertanam dilubuk hati yang amat dalam. Kadang-kadang aku bagai menyalahkan takdir kerana gagal menempuh ujian Allah, cukup lemah hati ini dek kerana amarah menguasai diri dan membiarkan syaitan bersorak kerana berjaya menghasuti hati yang rapuh ini. Dan saat aku tersedar masih ada jalan untuk diperbaiki aku mencari ilmu untuk dipenuhkan dihati, agar tidak jauh menetang arus dan bimbang lemas dalam lautan ego sendiri . Aku kembali pada kepadaNya, dan percaya hanya DIA yang memahami setiap yang terdetik didalam hatiku ini.

sayang,

    Maafkan aku, andai aku tidak cukup sempurna, kerana aku masih belajar dan ingin terus belajar dalam mencari ilmu dunia dan akhirat, dan  nilailah aku dengan sedikit ilmu yang aku miliki, moga cukup menjadikan aku seorang isteri yang solehah untukmu dan moga terpilih olehNya menjadikan aku bidadari syurgamu namun andai aku tersilap, pimpin dan bimbinglah aku dengan berhemah agar hati ini ikhlas dipimpini, lantaran dalam mencari keredhaan Allah pasti ada kelemahan dan kekurang namun itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk diperbaiki, asalkan keegoan kita tolak ketepi demi tempat kita di sana nanti....

Sayangku..

    Ada atau tiada rasa dalam hatiku, cintaku tetap padamu, rinduku ini terhadapmu bagaikan terbang di langit lalu berlari kearah pelangi yang indah, apa lagi yang membahagiakan aku, hanyalah doa-doamu untukku sudah cukup membahagiakan aku, aku tak perlukan mahligai indah, cukup semana mampumu, aku tak perlukan kereta mewah, cukup sekadar dayamu, aku tak perlu dikalungkan emas pertama cukuplah bagiku kalungan kasih dan sayangmu. kerana kau tahu... dirimu itu sudah cukup membahagiakan aku...dan aku akan menyintai dan berusaha membahagiakan dirimu selagi ada hayatku...percayalah..

Saturday, August 14, 2010

Mencari Kasihmu..

      Bila terkenang di saat zaman kanak-kanak dipenuhi dengan kejujuran yang tersimpan, kadang-kadang sekadar  mencari alasan untuk mempertahankan diri daripada mendapat 'upah' akan kesilapan yang telah diciptakan. Namun di waktu itu diri ini hanyalah seorang kanak-kanak yang terhimpit dengan naluri keanak-anakkan dan kematangan akal, sama ada terpaksa mematangkan diri atau keadaan yang memaksa aku begitu. aku sendiri mencari jawapanya. Di waktu itu juga hanya iri didalam hati bila terlihat kawan-kawan ketawa bahagia, bukan tidak bahagia, cuma mencari ketenangan hati, kerana kebahagiaan hati ketika itu bagai menyisih di balik diri.

      Kerana cuba menjadi yang hebat, akhirnya tunduk mengalah pada rasa,  entah kenapa masih tercari- cari istilah rindu pada belaian, rindu pada tingkah yang terawas, rindu pada lafaz kasih sayang, sekalipun tingkah itu jelas terlihat, namun masih samar dilindung curiga, hampir terlena kerana puas mencari  dan akhirnya memujuk diri, biarlah haus pada kasih yang tersimpan kerana gagal mencari titisan sayang yang bertakung, tiada lagi yang diimpikan hanyalah satu, moga suatu hari  nanti kasih itu terluah walaupun hanya sekadar renungan, apakah lagi yang mesti di simpan andai kasih itu telah terjejak, kerana bagaikan kaku saat langkah di orak,  bagai terkunci bibir, kerana kelu lidah tidak terluah, namun hati yang  bisu, bersuara tanpa berbicara. aku akur lalui perjalanan ini,  sambil tangan menagih kasih. 

       Amatlah sukar menuturkan kata, kerana kasih jauh terpendam, bukan kerana takut tapi kerana tidak dimanjakan. kasihku padamu tidak terpadam biarpun tak terluah pada tutur bicara, sering kali tertanya pada diri, kemanakah akan dibawa diri andai rajuk beraja di jiwa, kerana jawapannya ada di hati,  moga keliru kian terlerai lalu bicara bagaikan ubat segala kelukaan hati kerana hakikat memang sukar diakui kerana  keikhlasan itu memang tidak di lihat tapi dirasai. Kasihmu umpama pelangi petang yang berseri  meskipun tanpa cahaya terang menghiasi, namun keindahan pada warna itu amat membahagiakan, sekalipun tak tercapai tangan untuk di sentuh ianya benar-benar berbekas di hati, bagi insan yang menyedari hadirmu.

  Kini aku semakin faham maksud kasih sayang yang sebenar, kerana kasih yang dicari oleh aku selama ini sebenarnya ada didalam diri aku sendiri, kerana kelukaan itu tercipta saat aku tidak memahami maksud kasih sebenarnya. maafkan aku membiarkan diri keliru, lantaran tamak merebut kasihmu ayah dan bonda. dan aku  sedari kasih mu dilihat saat aku mengecapi kebahagiaan hidup di usia ini...
     




KERANA TERLALU MENYINTAIMU

      Dingin pagi menyapa tubuhku, titisan embun menyegarkan alam, kicauan si unggas yang keriangan memberi ketenangan hati, Dan hati ini tenang bila cinta ini benar-benar terhitung di sudut hati,kasih aku padamu benar-benar memberikan harapan pada jiwa yang menagih cinta, rasa rindu ini adalah lahir dari jiwa yang menyintaimu. adakah kau tahu aku cukup sukar melafazkan cinta dan aku juga tidak mudah untuk jatuh cinta, izinkan untuk aku terus menyintaimu..kerana hanya kau yang terpahat didalam hati iniku ini.

    Ketika jiwa terisi cinta, rindu datang memenuhi ruang rasa, kesetiaan ini telah aku dambakan hanya untukmu, tatkala kerinduan datang berbisik, aku seolah bagaikan terbang tinggi di awanan biru sambil memanggil namamu, lalu terjatuh ke dalam lautan kasihmu, berenanglah aku ke dalam lautan cinta. kerana hebatnya kasihku umpama lautan yg tiada tepian, aku dan kau berpadu janji untuk kekal menyintai dan kerana janjilah aku akan setia menyintaimu selagi jasad ini bernyawa.

Kehangatan cinta ini terbit dari hati, sekalipun masa berlalu namun kau tetap didalam hati, kasihku padamu masih seharum dahulu, walau apapun yang bakal terjadi kau akan tetap aku cinta, kerana cintamu telahpun abadi di dalam hati. Seandainya kau mengerti perasaan hati ini pasti kau tahu betapa aku menyintaimu, dan perasaan ini semakin bergelora kerana merinduimu, selagi rindumu itu masih lagi aku terasa, selagi itulah kasihku akan terus bertahta di hati

      Rindu ini telah memaksa aku untuk aku menyayangimu, kerana rindu inilah hatiku jadi begini, dan aku tak berdaya untuk menolak perasaan yang hadir didalam diri ini, seandainya kau menyedari kehadiran cinta ini, sambutlah cintaku ini. Adakah aku berdosakah menyintaimu, walaupun bukan kemahuanmu Dan aku tak tahu mengapa aku mesti menyintaimu. Seteguh mana nilai cintamu, andainya aku lemas dikeasyikkan kasihmu. Dan
sejak kau hadir dalam dihidupku, kau memberikan aku kebahagiaan. dn rasa bahagia itulah milikmu. Andai kasihku tidak terubat, pulangkanlah bulan yang hilang di kala siang, pintalkan buih menjadi selimut malamku, kembalikan belaian cintaku,lepaskan sengsara cinta ini, sedalam mana cintamu tidakku tahu, kerana cintakku terhadapmu terlalu dalam, dan aku akan meyintaimu hingga kehujung nyawaku.

sayang,
Hanya melihat kau bahagia sudah cukup membuatkan aku menyintaimu sepanjang hayatku,  kerana janjiku padaNya, aku akan membahagiakan kau selagi dayaku, Andai kasihku telah membuatkan kau merasakan bahagia, berikanlah aku cinta yang tidak pernah aku rasakan sejak dimiliki......

Wednesday, August 4, 2010

NILAI KASIHMU ABAH

   Menyingkap kenangan lalu pada zaman kanak-kanakku, aku di besar dalam sebuah keluarga yang sederhana , namun aku di penuhi dengan didikkan dan kasih sayang, ibuku seorang surirumah manakala abah seorang pegawai tentera. Aku melalui zaman kesukaran walaupun kemodenan seiring dengan perubahan masa. mempunyai bilangan adik beradik yang sederhana, segala keinginan di tolak ke tepi kerana tiada apa yang hendak direbutkan dalam memenuhi keperluan, mengalah jalan yang terbaik,   Ahh.. semuanya adalah kenangan terindah yang tidak tersimpan dimana-mana album mahupun bingkai -bingkai gambar, sekadar gambaran memori sudah cukup membuat aku tersenyum bila mengenangkannya. Bila saat suka, duka, pahit, manis menjadi satu adunan kehidupan,  segala yang di lalui menjadi wadah yang sedap untuk di telan. hakikat dalam leka mengimbas kenangan, kini aku sudah 33 tahun, rasanya seperti baru semalam bermula, bukan tidak sedar diri tapi itulah hakikat perjalanan hidup yang berlalu bagaikan aliran sungai yang mengalir tanpa henti, 
   Punya adik lelaki seramai 4 orang, aku adalah mangsa buli bagi mereka, hingga ke hari ini aku masih manja dengan adik-adik yang memanjakan, terasa seperti aku pula bongsu bagi mereka, Jelas keakraban kami sememangnya amat rapat sejak dari kecil lagi. Memiliki mak dan abah yang tegas dalam membentuk salasilah keluarga, namun akulah di antara yang kurang ada keyakinan diri, bukan menyalahkan mak dan abah kerana kelemahan sendiri,  sekadar mahu menyedarkan diri sendiri jangan terlalu lemah menilai diri dan jangan pernah menyalahkah orang lain hanya kerana kegagalan hidup, kerana kita telah di beri petunjuk seawal usia,  Mak dan Abah sudah mencuba yang terbaik untuk anak-anak dan terpulang bagi anak-anak untuk menentukan jalan hidup yang telah dipilih. Bagi aku kebahagian aku hari ini adalah dari doa dan restu  mak dan abah.
      Begitu yang dijanjikan, Abah sudah tiada lagi di sisi kami sekeluarga, Abah pergi menyahut seruan ilahi dan perginya tidak akan kembali lagi, kami redha, walaupun hakikatnya cukup sukar, . kami tetap redha kerana itu adalah janji Allah,  bagi setiap yang bernyawa pasti akan meninggal dunia. Rasa kehilangan masih dirasai, mengimbau kembali seawal perkahwinan, aku yang hanya balik kampug setahun sekali, dek kerana perjalanan yang agak jauh, membuatkan aku akur dengan takdir hidup yang dituliskan untuk ku,  apa yang pasti ada kerinduan saat berjauhan, ada doa yang di hulurkan. kini bila Abah dah tiada aku terasa amat rindu pada gurauan dan hilai tawa seorang Abah, Jambu batu, kuah rojak, durian, pasti menguatkan lagi ingatan aku kepada Arwah abah. Hampir setiap kali pulang ke johor, Akan aku belikan jambu batu dan lain-lain buah serta kuah rojak kegemaran abah,  Bukan main seronok melihat Abah makan, cukup berselera. itulah saat yang paling indah bila dikenangkan.
    Bila di tanya balik ke kampung atau tidak,  terlalu banyak alasan yang aku beri, maklumlah hati suami hendak juga dijaga, biarpun kerinduan hanya Tuhan yang tahu, kerana sedar bahawa mak abah yang sudah sekian lama membesarkan,  juga perlu di jaga hati, sedar bila mak dan abah yang semakin tua, pastinya hati mereka terlalu sensitif dan mudah terusik dan tercuit, segala kerinduan di simpan kemas dalam hati, hanya doa penghubung kata dan rasa,   benar....Susah menjadi perempuan ini walaupun mudah mendapat pahala tapi perempuan jugalah yang banyak menjadi penghuni neraka. bukan aku tidak bersyukur kerana diciptakan sebagai seorang perempuan, cuma mengenangkan pengorbanan seorang perempuan sepanjang hayat kadangkala hanya di pandang sepi, membuatkan aku mencari kekuatan diri dari hati,  segalanya kerana rindu terhadap insan yang membesarkan dan kasih serta hormat terhadap insan yang bergelar suami, kedua-duanya membuatkan aku kuat menjalani kehidupan,   


           Bila terkenangkan mak dan abah.. di sewaktu kecil ku,  pernah tertanam dalam hati inginkan seorang suami sehebat abah, yang sentiasa memuji mak di hadapan anak-anak, sering mahu di manja dan  perhatian.  dari mencari uban hinggalah memotong kuku, waktu itu mereka nampak cukup manja, saling bergurau  di hadapan anak-anak. berjalan berpimpinan tangan tika berjalan bersama, buat aku merasai kasih sayang yang dipamirkan itu,  walaupun abah seorang yang tegas dan garang tapi bukan dihadapan mak. hebatkan mereka, Abah seorang yang garang, tetapi cukup penyayang, walaupun Arwah abah tak menunjukkan kasih kepada anak-anak tapi kasih sayangnya diluahkan pada cucu-cucu, kami  sudah dewasa, kami terima cara abah mendidik kami, kami ikhlas menyayanginya. kerana ketegasan itulah yang mendidik kami erti nilai kasih dan keluhuran budi. keakraban kami jelas di setiap pertemuan sehinggalah pertemuan itu membawa kepada pengakhiran. Kini maklah tempat kami memaut rindu. kelembutan mak yang ada pada wajah, namun terselit juga kekuatan dari dalam hati. kasihnya terpancar pada wajah sejak kami di dalam kandungan lagi, itu hakikat seorang ibu kasih sayang sepanjang hayat. kami tetap menyayangi , terima kasih kerana membentuk kami, menjadikan kami anak yang kuat berpegang pada adat dan saling menghormati, nilai kasihmu cukup bermakna buat kami adik beradik.
    MAK dan ABAH ....itulah ungkapan yang indah disepanjang usiaku sebagai seorang anak, terima kasih kerana melahirkan aku kedunia ini, terima kasih  kerana menyusukanku, terima kasih kerana melindungiku, terima kasih kerana menjaga aku dengan sebaik jagaan. terima kasih kerana mengawasi aku, terima kasih kerana sanggup bergadai nyawa ketika melahirkan aku, terima kasih kerana bersabar dengan kenakalan aku, terima kasih kerana tak pernah penat menasihatiku, terima kasih kepada mak dan abah kerana merestui perjalanan hidupku, terima kasih kerana restumu membahagiakan aku, kini aku membina keluarga aku sendiri,  aku juga seorang ibu, aku akan cuba jadi seorang ibu yang sekuatmu, sehebat mak, sehebat mak melayan ibu mentua dan ipar duai, sehebat mak mengasihi abah hingga keakhirhayat abah, sehebat mak melayani abah, sehebat mak menjaga atok ketika sakit, sehebat mak menyayangi anak-anak. Mak oh emak  kalau dapat aku undurkan putaran dunia ingin aku membahagiakan mak kerana impian aku ingin melihat mak sentiasa tersenyum dan gembira. Mak.. anakmu hanya mendoakan dari kejauhan,”Ya..Allah lindungi mak ketika mak berjauhan dari mata padangan aku dan anak-anak mak yang lain. Ya Allah..berikanlah kesihatan kepada mak supaya dapat menunaikan ibadat yang diperintahkan dengan sempurna, berkatilah amal ibadat mak disepanjang hayat mak, Ya Allah .. jadikanlah makku sebagai bidadari abah di syurga nanti. Amin.”
"  Raut wajah abah betul-betul berbekas di hati, terlalu rindu pada wajah itu, hakikatnya tidak akan ku temu seiras sentuhan kasihmu, sekalipun kuredah ke pelusuk dunia..  mengapakah sukar menyusun bicara menuturkan sayang, kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah, hanya renungan mata yang bersuara bukan tutur namun kasihmu akan aku simpan walaupun tanpa bicara kerana tingkahmu menyakinkan aku  betapa berharganya nilai kasihmu Abah......".
dan itulah nilai kasih yang cukup berharga untuk dikongsikan. dan tak terbayar dengan wang ringgit. Kerana nilai kasih juga ada didalam pengorbanan.

Tuesday, August 3, 2010

TERIMA KASIH CINTA

    Kesepian hari ini  membuat aku mencari punca, adakah puncanya pada suraman malam, kerana malam bagaikan murung. bila rembulan tidak muncul menghiasi tatkala kegelapan melabuhkan tirai , mengapa pungguk masih merindui sedangkan malam ternyata sunyi tanpa bintang, walaupun esok masih ada mentari memberi sinar namun tidak boleh berharap pada cahayanya, kadangkala mendung melitupi kecerahan awan...

     Begitulah hakikat sebuah cinta kau dan aku, kewujudan cinta itu telah di simpan terlalu lama. Dan kini segalanya terungkai bila cinta ketahuan, jauh di sudut hati ini  relakanlah cinta dan kasihmu lebur bersama rinduku, biar aku dapat menikmati belaian kasihmu yang telah lama aku simpan. Walaupun hanya sekali aku menerima kasih darimu, pasti seribu kali aku akan setia pada cinta. Sekalipun bumi berubah putarannya, selagi nafas ini masih didalam diri ini, selagi itulah kau akan aku cintai. kerana inilah janjiku pada hatiku selama mana bermulanya aku mengenalimu,. andai cinta itu masih di tanganmu, biarlah aku simpan rindu ini yang sememangnya milikku.

    Hadirmu yang mendahului perasaan ini, kini kembali menghantui kerana yang hadir itu adalah cinta yang tak mungkin dimiliki. seandainya dapat kau selami hati ini pasti kau akan dapat jawapannya, bahawa kasih dan cintaku adalah benar, setulus perasaan yang datang dari dalam jiwa. Hadirmu mengubah segala rasa dan rasa bahagia inilah yang telah bertahta di hati..Seandainya kita bersama, kerana terlupa akan hakikat,  sedangkan saat itu kita  belum cukup betah untuk mengharungi lautan yang entah berapa dalamnya.  pasti kita akan karam di tengah lautan,  dan akhirnya lemas pada cinta yang menguasai akal lalu kita meninggalkan sebuah kisah, kisah antara kau dan aku dan kisah itu hanya kau yang tahu.

      Terima kasih cinta kerana telah mengejutkan aku dari mimpi yang panjang, walaupun aku sedar tanpa cintamu tidak bererti kerinduan hati, namun aku pasrah melepaskan cinta millikmu yang mekar pada luaranya namun layu tidak kelihatan. Maka terbenamlah rasa rindu yang amat dalam dan terkunci juga suara hati lalu tak siapa yang tahu kesakitan ini. dimanakah kasihmu yang tidak seperti dulu, yang tekad ingin menyayangi dan menyintai aku, adakah benar janjimu itu ataupun hanya sekadar pemanis bibir. Walaupun hadirku hanyalah seketika,  apa telah terjadi bukanlah kerana salah dirimu yang telah  meluahkan rasa cinta, tapi kerana kegagalan kau mengenal makna cinta, dan yang terluah bukan kerana cinta yang kau miliki dari dalam hati tapi  hanya sekadar luahan dari rasa yang mungkin kau keliru di antara luahan hati dan akal, izinkan aku pergi mengundurkan diri. kerana aku tak mahu mempermainkan hati ini. kerana hati ini sudah lama menyimpan cinta yang menghiasi taman hati, dan aku tak mahu mencemarkannya lagi, biarlah cinta ini kekal walaupun aku sedar tak mungkin  dapat memiliki hatimu sekalipun menyentuh bayanganmu, biarlah aku melupakan kisah yang kau ciptakan untuk aku bermimpi di dalam sedar, bila cintamu tak lagi untukku biarlah aku memulakan langkah baru, demi untuk mengubat  rindu dan luka hati ini.dan harus kau sedar hati ini  telah terluka kerana kamu.




"cinta dan kasihku adalah benar ianya lahir saat mata ini terpandang wajahmu..rindu ini juga benar kerana ianya hadir saat aku mengetahui kau juga menyintaiku"

Monday, August 2, 2010

Seorang Ibu Tua

      Dari suatu sudut terpandang aku pada wajah tua itu, wajah suci seorang ibu tua seolah menyimpan seribu duka. Tertanya aku pada diri apakah yang merunsingkan ibu itu lagi agaknya, sedangkan hidupnya amat senang dan mewah,  lalu  terpandang pula kehidupan anak-anaknya yang amat nyaman dan selesa dengan segala kemudahan, bisik hati ini, ibu itu gembira namun punya kisah sebaliknya. Ibu tua itu memandang ke kiri dan ke kanan dan akhirnya matanya tertumpu pada mataku bagai ingin meluahkan sesuatu yang  sudah lama tersimpan. Lalu aku mnnghulurkan hati dan menyerahkan telinga untuk ibu percaya, luahlah ibu apa mahumu, mungkin lidah dan akal ini mampu membantu meringan yang terbeban di hatimu, dan dihadapanku ibu itu memulakan kisah.

         Ibu punya anak yang cukup sempurna sifatnya, baik jagaannya, baik layanannya dan baik dimana tempat mereka dibesarkannya. Kasih ibu pada mereka tidak pernah terabai, sayang ibu pada mereka tidak pernah tersisih. ibu memberi apa sahaja mahunya. sekalipun diluar kemampuan ibu, demi kasih pada anak-anak ibu usahakan,  ketika anak-anak menangis, ibu segera dapatkan, saat lahirnya mereka kedunia ibu sambut dengan tangisan gembira. tatkala mereka kesejukkan, ibu selimutkan dengan selimut ibu. segalanya hanya ibu mahu pastikan yang terbaik untuk anak-anak ibu.

          Hari ini mereka sudah besar, dan ibu sudah tua, adakah kamu nampak ibu tidak cukup sempurna buat mereka. kerana terkadang sakit, terkadang lupa. Adakah kerana ibu tidak tahu tentang kemajuan teknologi. adakah ibu di lihat kolot  di mata mereka. ibu tak pasti tentang kemahuan anak-anak ibu kini. seolah ibu tak mengenal mereka lagi. Hari ini ibu menangis sedih, ibu sudah tidak punya kepentingan lagi mungkin, yang ibu tahu mereka tetap anak-anak ibu. sekalipun mereka tidak lagi semanja dulu. bukan ibu mahu di bayar disetiap jasa ibu. cukup kamu mengenali siapa ibu kamu sebenarnya.

       Andai kamu punya kehidupan nanti, janganlah kamu lupa menjenguk orang tuamu dikampung, kerana bukan hadiah yang ibu dan ayah mahukan, bukan wang ringgit kami  harapkan, tapi hanyalah kesanggupkan kamu meluangkan masa untuk bersama kami. Baliklah ke kampung  dimana tempat kamu dibesarkan, tidurlah di mana tempat kamu tidur dahulu, sentuh lah kami sebagaimana kami tak jijik menyentuh kamu. Janganlah kamu tertawakan kami kerana kelemahan kami tentang teknologi, tetapi ajarlah kami setidak-tidaknya kami tahu tentang itu. lakukankan untuk kami sebagaimana ibu dan ayah menghantarkan kamu ke sekolah kerana mahukan kamu menjadi pintar dan terpelajar..Sebelum ibu terlupa,  kesenangan  hari ini adalah dari doa  ibu dan ayah, kemewahan pada hartanya hari ini adalah bila redha ibu dan ayah keatas perjalanan hidup anaknya, maka redhalah Allah terhadapnya.

        Dari jauh aku melihat sugul ibu tua itu, terluah juga apa yang  terbuku selama ini. sekalipun pun luahannya bukan dihadapan anak-anak, namun sudah cukup baginya ketenangan..melihatnya matanya aku dapat melihat seorang ibu yang cukup menjaga perasaan anak-anaknya, namun tidak sedarkah anak-anaknya, bahawa mereka telah melukakan hati ibunya ini. seorang ibu yang penuh dengan kasih sayang. dan harapan...
Tetiba teringat aku pada mak dikampung pastinya merindui suara anaknya... oh mak maafkan aku andai terguris hatimu....
Ana Sarina Abu Bakar

luahkan rasa....

buahatiku

Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Kids Birthday tickers

ikatan kasih

Daisypath Anniversary tickers