Monday, September 6, 2010

HADIRMU SYAWAL..


        Kini syawal kembali lagi setelah sebulan umat islam menahan lapar dan dahaga, bulan puasa kali ini terlalu banyak dugaan kesihatan bagi anak-anakku, percayalah aku redha dan ikhlas menempuhi dugaan itu, namun aku juga punya rasa sedih apabila melihat anakku lemah ketika menghadapi dugaan itu.  Namun tidak akan aku biarkan anakku longlai biarpun letih lantaran apa yg dimakan telah dimuntahkan semula, kerana aku tak mahu anak-anak menjadi hamba penyakit, biarlah kita menjadi tuan kepada tubuh kita sendiri.. kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya.
   
      Setiap kali syawal kian bertamu, hatiku berdebar-debar., bukan kerana tidak sabar menyambut raya, tapi masih pilu bila mengenang pagi raya hanya bonda yang duduk dikerusi untuk bersalaman.. tiada lagi suara ruih si abah yg menyuruh kain sampingnya digosok, tiada lagi kesibukan kelibat si abah mencari daun ketupat untuk dianyam oleh kakak dan bondaku, aku pula dari zaman kecil sampai kesaat ini tidak seligat bonda dan kakakku menganyam ketupat, manja sungguh tangan aku ni..puas diketuk ( petua orang tua-tua) untuk memastikan sehebat kakak dan bonda.. ternyata tangan aku memang degil, dan kini tiada lagi yang menentukan apakah menu untuk dimasak pada malam raya dan menjadi santapan untuk kami sekeluarga. kerana selera kami sebenarya, banyak yang mengikuti selera arwah abah. tapi segalanya  sudah tiada lagi. namun yang berbaki hanya kami anak-anakmu yang suram, yang jahil pada ilmu, yang cetek pada pengalaman.dan hidup mesti kami teruskan sekalipun pautan itu sudah terlerai lantaran akar kami sudah tidak bertunjang, tapi kami yakin pada didikkan kami, dan kami berpandu pada didikkan yang telah mak dan abah tunjukkan kepada kami, kami gengam hingga jadi arang, akan mempertahankan maruah dan agama, segalanya untuk masa depan kami dan keturunan kami juga. 
     Syawal ini punya nafas baru pada wajah anak-anakmu yang semakin dewasa. dewasa pada akal yang dulunya amat sempit pemikirannya..sempit akibat ego remaja yang meracun diri. meracun pada akal yang tak menerima caramu mendidik kami, hakikatnya kami bangga memiliki seorang bapa seperti abah. sekalipun menyimpan kekaguman itu didalam sudut hati kami dan dengan kejayaan akan kami luahkannya nanti, kerana kami pernah berikrar yang kami akan tunjukkan yang terbaik dimatamu. sekalipun abah tak sempat melihatnya. tapi anak- anak abah sudah melakukan sudah yang terbaik untuk  masa depan kami, betul kata abah, "kamu kalau  tak jaga masa depan kamu, apa yang akan kamu bagi anak bini kamu, agama kita junjung, maruah kita kendong, jangan  banyak termakan budi takut nanti tergadai diri" itu yang abah nasihat kepada kami adik beradik,segalanya adalah utk masa depan kami dan kami mula sedar akan tentang itu..".


    Sememangnya tatkala bercerita tentang abah,  terlalu banyak kenangan yang masih tersimpan. kerana pada waktu begini ingatan terhadap arwah abah amat kuat dan menjelma dalam ingatan, kerana wajah gembira seorag abah terpancar bila anak-anak berkumpul di pagi raya, di samping keriuhan cucu-cucun penyambung kasihnya. kami akan memulakan kunjungan raya kami dikampung sebelah keluarga abah. di sana cukup ramai adik-adik abah berkumpul beraya bersama,ketika dikampung, bersinarlah wajah gembira abah tatkala bergurau bersama adik-adiknya. abah yang murah dengan senyuman dan gurauan pasti menghiburkan hati sesiapa yang berbual dengan abah dan yang pastinya anak-anakmu mewarisi keramahan abah. selepas puas dirumah atok, giliran rumah saudara- saudara yang lain pula. namun tidak ada wajah penat yang terbit di wajah abah.. tetapi senyuman dan gurau untuk  tuan rumah selalu dihadiahkan oleh abah, wahai kenangan yang indah, sentiasa terbayang dimataku akan gelagat abah yang suka bergurau.


   Kami redha segala ketentuan yang sudah berlaku, apa yang dicoretkan di sini hanya sekadar berkongsi cerita tentang syawal dan kehidupan . kisah seorang abah yang nampak garang pada zahir, namun pada hatinya, arwah abah punya hati yang berdendang sayang... kerana terlalu kasihnya seorang bapa terhadap anaknya sehingga sanggup berdepan dengan pelbagai dugaan dan tomahan, kerana baginya kebenaran pasti muncul dan disaat itu mereka yang cuba membuat onar pasti akan menerima pembalasan dari Allah. kami bahagia dengan dunia kami, kami terima cara abah mendidik kami... kami terima bukan saat ketiadaan abah.. kami sudah terima saat kami melihat sendiri ikhlasnya abah mendidik kami.. saat itu kami semakin mesra dan bahagia. aku juga pernah terdengar cerita bonda kepadaku apabila abah meluahkan hatinya pada bonda"saya bukan marah anak tidak bersebab, tapi kerana kasih dan sayang saya pada anak-anak dan saya sedar, saya seorang yang panas baran dan kerana itu saya cuba mendekatkan hati saya kepada anak-anak ".seorang abah yang tinggi egonya namun membuang terus keegoan hanya mahu pastikan anak-anak dapat melihat kasih terhadap anak-anak itu benar-benar ikhlas. dan sejak situ aku berazam akan mempertahankan nilai kasihmu abah. 

       Di syawal kali ini.. aku seolah-olah bagaikan mahu keajaiban muncul  menjelang pagi hari raya nanti, namun saat itu mustahil akan berlaku, hanya doa yang mewangi akan aku pohon buat arwah abah.  buat bondaku.. hatiku sentiasa ada bonda menemani, walaupun kita berjauhan namun telefon penyambung rasa rindu kita dan diiringi doa sebagai penguat kasih. air tangan bonda juga pengikat perut kami yang sudah kepingin rendang daging yang dimasak oleh bonda.. sudah terbayang kuah kacang yang  tiada tandingannya. tunggulah kami bonda moga kami selamat sampai dihadapan bonda.insyaAllah...
Hati ini hiba lagi.. entah apa yg memilukan hati...pasti takut berdepan kenyataan,walaupn hampir 3 thn kenyataan diterima... biarpun perginya aku akur redha.. namun pilunya hati ini  tak mampu aku menepis lagi.. luaran aku sering sahaja tersenyum, tetapi hatiku terus meruntun pilu..seolah tidak  mahu menyambut hari raya..wahai hati redakan rindu ini agar pagi raya ikhlas aku menanti hadirmu SYAWAL yang  bertamu nanti.
Ana Sarina Abu Bakar

luahkan rasa....

buahatiku

Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Kids Birthday tickers

ikatan kasih

Daisypath Anniversary tickers