Friday, July 30, 2010

Kerana rindu ini..

    Terjaga aku dari lena  kerana di hembus kedinginan rindu entah kenapa sukar untuk melelapkan kembali mata yang tadinya terpejam  adakah kerana bayangan  wajahmu menjelma walaupun sudah sekian lama kita tidak bersua, sememangnya aku tidak pernah melupakan,  kini takdir temukan kita kembali, tak mungkin hanya kata yang dapat meredakan rindu yang telah lama kita simpan.

    Fahamilah, kasih dan rindu ini seindah  sinar pelangi, walaupun sinar pelangi akan hilang dek kerana mentari, namun pasti dikala malam rembulan dan bintang akan menemani. Usahlah mendusta hati andai rindu berbisik lagi, takut bila berdusta, hati mula mengeluh resah dek kerana  rasa rindu ini, pasti rindu yang terpendam akan mengundang rawan.  Himpunlah kekuatan untuk menakluki cinta, usahlah menaburi kemanisan harapan dalam menghimpun makna rindu.

   Kilauan cinta bercahaya diselautan kasih yang berkilau, namun rindu ini bagai terdampar di tepian, sesepi hati yang merindu, namun kalungan cintamu menjadi azimat rinduku. hakikat rembulan tidak di ribaan namun pungguk tetap setia menunggu., walaupun tidak dibasahi hujan kerinduan, namun tempias sudah cukup menyegarkan cinta ini. semoga bahagia menjadi milik kita selama-lamanya.

    Renungan pertamamu yang mempersonakan telah memukau hati dan mindaku, gemuruh rasa jiwa ini  tidak terlahir dengan kata-kata namun senyuman penganti bicara. hadirnya kau dalam hidupku memberikan daku satu sinar., dan kini rinduku mekar di dalam hati. Tangisan dalam ketawa  bagaikan  ingin menutupi duka di hati, terasa bagaikan mahu ku sentuh bayanganmu, sekalipun hanya seketika cuma, cukup untuk menghilangkan dahaga kerinduan.  Andai takdir yang menemukan dan takdir jugalah memisahkan. Dan yang pastinya kita saling merindu, kenyataannya aku menyintaimu sepenuh hatiku sekalipun kau terus membisu saat aku merindu. Hakikat hati ini tidak boleh membisu, sekali pun lidah kelu untuk menyatakan kerinduan. kerana hati jujur berbicara..

Andai bahagiamu derita buatku

   Andai benar ada cinta di dalam hatimu, mengapa hambar yang aku rasakan, mengapa semakin menjauh kelibatmu dari sudut pandangku mengapa semakin hilang alunan suaramu, adakah hanya aku yang merasakan cinta itu, adakah rindu yang sedalam ini hanya milik aku. adakah kerana cinta aku padamu yang sebenarnya telah larut kedalam hatiku sedangkan cintamu hanya terapung pada permukaan hati.

   Bila hati ini kian terusik rasa kecewa bagai dihiris sembilu, pedihnya pada luka amat terasa,dan hati yang mekar kerana cinta yang kau semai seolah-olah di lontar lalu  terhempas ke batu, pecahnya bederai amat sukar untuk dicantumkan kembali,terlalu sakit, amat pedih.  maafmu sudah tak berertilagi bagiku kerana manis mulut mengucapkan janji namun hampa dan tidak pernah kau tepati, aku bagaikan dibuai mimpi lena cukup lena sehingga tak tersedar sekalipun sudah di kejut namun aku masih bermimpi.

    Andainya kau bahagia didalam deritaku aku pasrah menepuh derita itu. Hakikat derita rindu itu amat menyakitkan hati, setelah kau menyalakan api cintamu lalu membakar jiwaku dan hanya aku yang hangus dalam perasaan sendiri. 




   mengapa kau biarkan aku masih bermimpi sedangkan kau telah menghilang dalam sedarku. Hakikatnya kau tahu bahawa aku tak mampu untuk melupakanmu,dan kau terus membiarkan aku tercari-cari tanpa jawapan, Seandai yang tertulis buatku adalah yang terbaik untukmu akan aku jadikan kau sebahagian dari kenangan yang terindah utk aku kenang. tapi maafkan aku kerana tak mungkin untukku  memadamkan jejak cintamu yang telah lama terukir di dalam hatiku kerana terlalu banyak kata yang tak mampu aku ungkapkan kepadamu. Maafkan aku kerana ingin kau selalu menemani aku dan merindui aku kerana saban hari aku terasa benar kau ada dekat disisiku.Dan di setiap waktu yang terdetik di hati ini adalah bayanganmu sekalipun nampak suram. yakinkanlah padaku bahawa kau adalah cintaku yang aku cari selama ini, sekalipun sudah kelewatan waktu.

    Namun kini aku semakin sedar, kau semakin menjauh dan nyata kau sudah meninggalkan aku, di saat aku mengharapkanmu sekalipun tak terniat dihatimu untuk meninggalkan aku. dan aku pasrah diatas kelukaan ini. Janganlah kau cuba mendustai takdirmu kerana dihadapanmu adalah yang terbaik telah tercipta buatmu. walaupn pada hakikatnya aku pernah meminta cinta darimu untuk aku letakkan kedalam hatiku dan untuk kali ini maafkanlah diriku sekali lagi kerana tidak mampu untuk aku mendapatkan cinta milikmu itu lagi, dan akhirnya mungkin aku terpaksa meninggalkan dirimu,dan biarlah kedukaan ini kutanggung sendiri, biarlah hatiku menangis bila aku membayangkan kau bersamanya, biarlah aku menangis melepaskan cintaku berlalu pergi,dan untuk kau mengerti aku adalah hati yang sedang kau sakiti, hakikatnya aku adalah wanita biasa yg dicipta oleNya yang lemah dalam melayari perasaan pastinya aku akan terluka dan kecewa akibat derita cinta

   Airmata dan cinta menjadi teman hatiku yg keliru dan hanya padaMu tempat aku mengadu, aku pohon tika saat aku mengadapMU ya Allah..wahai penilai hati,menilailah hatiku yg terluka kerana cinta, kerana rahsia hati ini hanyalah ENGKAU yang tahu, adakah cinta miliknya ini layak terukir dihatiku, bisikkan doa ini kupanjatkan padaMu.. aku serahkan segalanya rasa cinta ini hanya untukMu..

"
ANDAI CINTA SUCI ITU MILIK HATI, BERGELORA RASA MENAHAN RINDU, KERANA MENOLAK NAFSU CINTA YANG INGIN BERAJA DIMATA,.. ANDAI JODOH MILIK KITA, HARGAILAH KASIH KU HINGGA KE MATI, MENANTI SAAT INDAH BILA JANJI DIPATRI .."

Friday, July 23, 2010

Ku Pohon....

     Bila jiwa mula resah, keliru pada laluan yang salah, kau datang ketika kedukaan menghimpit resah,  kirimkanlah aku kekuatan tika kesesatan mencari arah, bintang yang bergemalapan di kala malam sinarmu seolah membawaku ke arah jalan syurga namun bilaku sedar selimut dosa masih menyelubungi, ternyata aku bukan wali yang suci dari segala hina dan benci...
    
      Aku senyum dalam derita, tiada siapa yang menyedarinya, kau datang tika aku keresahan, kirimkanlah pada aku kesabaran dalam menempuh dugaanMu, sesungguhnya aku bukan malaikat ataupun wali, yang terlepas dari dosa-dosa ciptaanku sendiri, aku hambaMu yang kerdil, terdapat kelemahan dalam mencari kesempurnaan diri.
    
      Terlalu banyak cinta yang ku damba, terlalu banyak telah aku mencuba dalam memiliki cinta namun tiada yang sempurna dan hanya sementara hadirnya, aku pasrah ketentuanMu dan lemah dalam mentafsir istilah cinta.


      Aku haus tika lemas di tengah lautan lantaran gagal mencari dahan untuk berpaut, lalu aku hanyut kerana tiada kekuatan diri dan hatiku menangis tika bibirku menguntum senyum perit pedih menanggung derita, sesungguhnya  aku manusia yang lemah, yang sering gagal dan kalah ketika berdepan dengan ujian dariMu, tika ini hanya doa yang mampu aku pohon  moga diberikan kekuatan serta hidayah dariMu. PadaMu tempat aku bersujud dan hanya padaMu kupohon sinar jalan ke Syurga..
  
           Aku resah dalam melenyapkan dendam yang lama diam, lalu ku rebah pada hakikat yang terikat. hanya padaMu tempat aku mengadu segala rasa rindu, limpahkan padaku rahmat kasihMu..tiada yang sempurna dalam memiliki cinta, sesungguhnya aku akur padaMu kerana cinta dan hati ini adalah milikMu YaAllah...






    

Wednesday, July 21, 2010

AKU INGIN KAU TAHU...

    Tika hati berdendang,kerana rindu sedang berlagu,pasti senyum menguntum riang bila terbayang kisah kau dan aku.
   Tika keyakinanku datang,kasihku bukan hanya sekadar cinta namun ianya juga sebuah pengorbanan cinta yang agung untuk aku pertaruhkan dan pertahankan, bila bahagia mula menyentuh hati,seakan aku boleh hidup lebih lama lagi,namun aku terpaksa meninggalkan cintaku seketika, tatkala aku bersujud padaMu YaAllah.


   Maafkan aku andai cintaku padamu tak sempurna semahumu, namun bagiku cintamu adalah segalanya.bagaimana mungkin aku membisu sedangkan hati memekik rindu, bagaimana mungkin aku menutup telinga sedangkan alunan cinta jelas kedengaran. bagaimana aku mahu terlena sedangkan mimpi indahku dengan mata yang terbuka.
  Bagi aku kesempurnaan cinta adalah apabila kekuatannya dapat aku rasakan, Di setiap langkahku akan selalu mengingatimu kerana bisikkan cintamu adalah azimat buatku dan bisikan itu jugalah pengubat keresahan hati ini. Janganlah kau tinggalkan aku kerana pasti hatiku terasa sunyi tanpa kau di hatiku.


   Hakikat cinta itu sememangnya telah larut kedalam hatiku yang menyintaimu. Aku bahagia apabila kau tiba kerana kau melenyap segala kekusutan,moga kau mengerti hanya cintamu yang terbaik untukku.-TAMAT-


Monday, July 19, 2010

DAN AKU MASIH DI SINI.........

Mengimbas kembali detik pertemuan antara Sofiya Anna dan Haris Bazli, perhentian bas di Pekan Sehari adalah menjadi saksi pertemuan singkat mereka yang akhirnya menjadi kenangan pertemuan cinta, segalanya bermula ketika menunggu pengangkutan awam sampai untuk dinaiki, dan di situ bermulanya kisah cinta Sofiya dan Haris.
"saudari yang di sana, boleh tahu waktu sekarang ni sudah pukul berapa ye"tanya Haris yang memulakan perbualan.
"Maaflah, saya tak pakai jam tangan, cubalah tanya apek tua kat belakang tu"jawap Sofiya bersahaja sambil tersenyum manis.
"itu cara lama nak mengurat tu" bisik hati Sofiya.
senyum manis berlesung pipit di penjuru bibir Sofiya  itulah yang telah mencairkan hati Haris.
Sofiya yang berkulit cerah dan mempunyai rambut panjang dan lurus melepasi paras bahu memiliki wajah melayu yang cukup anggun, sofiya sudah mengenakan tudung sepenuhnya setelah menamatkan persekolahannya.
"lambat pula bas kali ini"Haris memulakan semula perbualan yang sudah terhenti tadi.
"betul tu, saya pun dah lama tunggu dah ni,tapi mungkin sekejap lagi sampai la tu." 
dan tidak lama kemudian.."haa.. itu pun dia, Bas dah sampai". 
ketika sedang menunggu giliran untuk naik ke dalam bas, Haris dengan memberanikan diri  bertanya lagi kali ini betul-betul ingin berkenalan,
"boleh saya tanya nama sebenar saudari, dan boleh saya minta nombor telefon rumah saudari" ayat Haris yang berharap.
"Sofiya Anna, panggil sahaja Fiya", kalau nombor telefon rumah tu ada kertas dan pen, sebab saya tak ada apa alat untuk menulis ni hmm en.boleh ingat ke?" jawapan Fiya
Haris hanya mengelengkan kepalanya dengan hampa.
kali ini sofiya sudah dapat duduk di kerusi bas, duduk bersebelahan tapi berlainan barisan kerusi. sekali sekala menjeling kearah jejaka yang berusia 23 tahun itu.
"boleh tahan juga, mamat ni" bisik hati Sofiya.
dan tiba-tiba Fiya teringat yang dia terlupa bertanya nama lelaki tadi.
"saudara pula siapa, sudah ada ke pen?"
"nama saya Haris Bazli, kawan-kawan di asrama panggil saya Haris. tak jumpa lagi.. tapi saya cuba tulis pada kotak rokok yang saya jumpa di tepi tempat saya duduk ni"jelas Haris
Haris yang sememangnya tidak merokok, warna merah delima jelas kelihatan pada bibirnya
Sofiya memberikan nombor telefon rumahnya kepada Haris dan terus bangun lalu menekan lonceng bas menandakan sudah sampai ke destinasi Sofiya. Sofiya turun dari bas sambil mukanya mendongak kearah tingkap bas yang dia naiki tadi dan kelihatan Haris menunjukkan bahasa isyarat ibu jari dan jari kelingkeng  ke telinga Haris untuk memberitahu bahawa Haris akan menghubungi Sofiya nanti.
"nasib sempat dapat nombor dan nama"bisik hati Haris 
sejak dari hari itu mereka saling menghubungi, dan Haris yang kerap menelefon kerana Haris tidak memilik telefon mudah alih.
" hello, Assalammualaikum.. boleh saya bercakap dengan Sofiya Anna
"Hello, waalaikummussalam.. ye saya Fiya..
Maka bermulalah kisah mereka berdua dari hanya berkawan sehingga terbitnya perasaan sayang.
  
********************************


Hari bersilih hari, bulan berganti bulan
Setahun sudah percintaan di antara Sofiya dan Haris berlalu seiring dengan tamatnya pengajian Haris Di IPTA, percintaan yang semakin mendalam kasihnya dan utuh perasaannya. Namun kasih yang di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari,  sedikit salah faham telah berlaku antara mereka berdua lalu tercetus pergaduhan. berpunca dari teman sepejabat Haris yang telah memberitahu tentang pertemuannya dengan Sofiya di Pusat membelibelah bersama seorang lelaki yang pasti bukan Haris.
"Ris aku jumpa buahhati kau dengan seorang lelaki di pusat membelah tengahhari tadi." adu Rafiq pada Haris
"mesra nampak"Rafiq menambah-nambah cerita
"kau nampak mesra yang macamana"Haris ingin tahu
"berpegangan tangan ke?"Haris mula cemburu
"Tidaklah sampai ke situ mesranya" balas Rafiq
"Habis tu dah kau sendiri beritahu nampak mesra"Balas Haris yang keliru
"Memang mesra tapi diaorang bersembang,ketawa,senyum, mesra la tu kan"Jelas Rafiq 
"Kau rasa kau kenal ke lelaki tu". curiga Haris kini bertambah.
Manalah aku tahu dah aku nampak dari jauh, yang kau ni dah macam wartawan Melodi kenapa, eh.. aku nak balik dah ni" kata Rafiq yang cuba melarikan dari terus ditanya oleh Haris
nampaknya Haris mempunyai banyak persoalan untuk ditanya kepada sofiya petang nanti. Jantung Haris berdegup kencang bagai tak tentu arah bila memikirkan cerita dari temannya sebentar tadi, kalau sekali dia boleh sabar lagi tapi masuk hari ini sahaja dah empat kali cerita yang sama Haris dengar dari teman setempat kerjanya.


*****************************


Peristiwa petang tadi menyebabkan hati Sofiya terhiris,seolah apa yang Sofiya lakukan selama ini tidak di hargai segala sumpah janji untuk saling memahami dan mempercayai hanya tingal janji,kerana peristiwa itulah Sofiya tekad untuk pulang ke kampung dan cuti selama satu minggu yang sudah diluluskan memudahkan dia untuk pulang  ke kampung halamannya untuk menenangkan hati dan sekaligus Sofiya mengemas barang miliknya yang mempunyai kenangan bersama Haris dan dia mengasingkan setiap pemberian Haris, hati Sofia begitu terhiris dengan kata-kata Haris siang tadi..
"Fiya keluar dgn siapa tadi, ada kawan abang bagi tahu" tanya Haris,
"Oh.. kawan sekerja ajak belanja makan tapi bukan dengan Fiya seorang je ramai-ramai, lepas makan  Fiya temankan kawan membeli belah barang dapur maklumlah lelaki mana tahu cari benda-benda macam ini, tapi masa membeli belah tu Fiya berdua je" jelas Sofia jujur
"lelaki?" tanya Haris buat-buat tidak tahu.
"ha'ah lelaki la.. kalau perempuan mesti tak akan kawan abang nak hantar report pada abangkan" sindir Sofia.
"kenapa mesti Fiya yang kena keluar dengan dia kata keluar ramai-ramai, kenapa mesti pilih Fiya, kenapa tak pilih yang lain dan mesti ke keluar dengan lelaki dan perlu ke?". "soal Haris.
"dia kawan Fiya,lagipun kawan- kawan lain adahal masing-masing dan yang lelaki jadi pemandu, kenalah ikut balik, 
tapi Fiya kena tunggu Adam sebab Fiya tumpang kereta Adam tadi, abang perlu ke Fiya jawab soalan abang,
sedangkan Adam kawan Fiya, satu tempat kerja pula tu, kami berkawan." Sofiya cuba bertenang.
"Tapi bukan ke Fiya ni kekasih abang"jelas Haris. 
"Jadi Fiya tak perlukan kawan hanya kerana Fiya kekasih abang"jwp Fiya tegas.
"Abang rasa Fiya mula dah tidak sayang akan hubungan kita lagi" rajuk Haris 
"kenapa?sampai bergitu sangkaan abang terhadap Fiya dan apa kaitannya bukan ke Fiya sudah jelaskan".sofia semakin keliru
"Sepatutnya Fiya tahu kedudukan Fiya sebagai kekasih abang dan banyak benda yang Fiya lakukan tak maklumkan pada abang terlebih dahulu,sebab itu abang mula rasakan yang Fiya sudah mula berubah."jelas Haris dengan panjang lebar.
" Baiklah Fiya mengaku Fiya terlupa beritahu Abang, sebab bagi Fiya ini perkara kecil, sebab Fiya rasa perkara yang dilakukan secara tidak dirancang tidak perlu nak di beritahu sesiapa. kalau itu menjadi kesalahan, Fiya minta maaf,dan buat pengetahuan abang, Fiya sentiasa sedar Fiya kekasih abang dan bakal tunang abang".pujuk Fiya
"Masalahnya Fiya dan dia berjalan berdua-duaan macam itu." jelas Haris lagi dan kata-kata itu mengguris rasa Fiya
"Fiya jalan di tempat awam dan semua orang nampak termasuk kawan abang yang melapor pada abang tu, "Fiya tak sembunyikan hal ini pun dari pengetahuan abang, cuma kawan abang itu yang hantar laporan pada abang terlalu awal daripada  Fiya" jelas Fiya lagi 
"Itulah nasib baik ada kawan abang yang beritahu, kalau tidak entah apa lagi yang Fiya buat agaknya,yang abang pun tak tahu" tuduhan haris kali ini semakin menjadi-jadi.
"Sampai hati abang tidak percayakan Fiya, tak pernah Fiya menduakan perasaan abang, dan Fiya tahu dengan siapa Fiya berkawan dan siapa kekasih Fiya, abang" jelas Fiya yang mula terluka hatinya.
"itu cakap mulut sahaja Fiya, tapi dalam hati tiada siapa yang tahu, Fiya, mungkin Fiya cuba menyembuyikan sesuatu perasaan dari pengetahuan abang.." tuduh Haris
" Cukup!! Fiya faham dan amat faham dan tidak perlu abang jelaskan lagi, Fiya nak ucapkan terima kasih kerana menyayangi Fiya selama ni dan harus abang ingat hati Fiya hanya Allah yang tahu dan Fiya kesal abang masih belum kenal hati kekasih abang sendiri".
Tiba-tiba airmata Fiya mengalir dan Fiya terus pergi, tanpa menoleh walaupun di panggil berkali-kali oleh Haris.

**************************

"Sofia.. kau dah nekad ke ni" pertanyaan Linda benar-benar menghentikan lamunan Sofiya.
"perlukah aku bersama orang yg sudah hilang kepercayaannya terhadap aku". jelas Sofiya
"tapi dia cuma nak tarik perhatian kau tu Fiya, Haris nak tahu sejauhmana sayang kau pada dia". pujuk Linda kawan serumah Fiya
"perlukah Haris buat bergitu pada aku, sedangkan kasih aku pada dia adalah milik Allah, jika aku percaya pada qada dan qadar Allah, kenapa dia perlu sangsi"jelas sofiya lembut
"kau cantik sofia, Haris takut dan tidak mahu kehilangan kau, dan  yang aku pasti Haris cemburu." pujuk Linda
"Cemburu Haris tu cemburu buta Linda, dia tidak selidik betul-betul, dengan siapa aku keluar, atas sebab apa, tujuan apa, terus-terus menuduh aku begitu."luah Fiya pada Linda.
tak cukup dengan itu Haris mempersoalkan tentang hati aku, curiga tentang perasaanku".sambung Fiya
" dan kau Linda, terlupa agaknya, kecantikkan kita tidak kekal Linda, aku bersyukur jika itu yang aku miliki, tapi aku hanya meminjam sedikit keindahan dariNya." jelas sofia lagi.
" kau ni degil la sofiya, Mungkin dia kecewa, sebab Haris fikir yang kau telah menduakan dia." Linda cuba pertahankan Haris.
"aku degil atau Haris yang tidak faham, kalau Haris kecewa, aku lagi terkilan,
"aku cinta Haris sepenuh hati, sepenuh hati aku,Linda, sehinggakan mahu sahaja aku pohon pada Allah agar aku diberikan hati kedua untuk aku tidak lalai dalam mengingati Allah, sehingga sampai ketahap itu sayang aku pada Haris.kau tahu tak Linda,dan aku mengasihi Haris adalah dengan izin Allah." dan aku percaya pada Haris sebagaimana aku percaya pada hati aku sendiri yang aku menyintainya."
"Dan andai takdir ini telah memisahkan aku dengan Haris,  aku redha."
"Dan sesungguhnya aku percaya pada takdir Allah yang sudah tertulis bagi setiap hambaNya."
"Andai jodoh kami masih kuat, katakanlah pada Haris bahawa aku masih ada di sini yang setia menanti cinta darinya".
Linda merenung wajah manis gadis 21 tahun itu..hati Linda tenang dengan jawapan dari sofiya, ternyata Sofiya jujur pada pendiriannya sendiri  dan punya pendapat tentang cinta.


*********


"Sampai salam aku nanti pada Yati ye, aku tak sempat jumpa yati hari ni sebab dia shift malam"pesan Sofiya kepada Linda.
"InsyaAllah nanti aku sampaikan, lama ke nanti kau kat kampung tu Fiya" tanya Linda
"Tak tahulah Linda aku nak cakap, tapi yang pasti aku ambil cuti satu minggu".
"Cuti tunang tu ke..? oh maafkan aku Fiya"kesal Linda kerana terlepas cakap.
"tak mengapa" Fiya tersenyum kelat.
Fiya menaiki bas exspress tepat jam 9.00 malam untuk pulang ke kampung terletak di Taman Indah, Johor.




*******************************


Rasa kesal dari hati Haris membuatkan jejaka berkulit kuning langsat itu tak senang duduk berkali-kali panggilan dibuat tapi masih tiada jawapan.rasa-rasa mahu sahaja dia baling iphone barunya tu didinding rumah.
"Fiya mana kau sayang.. maafkan abang kerana kesilapan abang sendiri." bisik hati Haris
"kenapa aku tak fikir masa  nak bercakap..huh inilah yang aku dapat kalau ikutkan perasaan sangat" kesal Haris bertambah.
"aku ni memang tak sayang mulut betul" rungut Haris lagi.
"Ni semua angkara si Rafiq ni..Aduh macamana ni". Haris masih merungut.
Haris cukup malu dan kesal, marah pada diri sendiri apa  yang telah berlaku petang tadi menyebabkan Haris mencari jalan untuk memujuk Sofiya, apa yang harus dilakukan untuk Fiya memaafkannya.
Jari Haris tak berhenti mendail nombor teleFon Fiya,dan akhirnya Haris menghantar pesanan ringkas  


Fiya sayangku..Sememang abang tidak boleh Fiya jauh dari abang..Jangan siksa hati abang macam ini sayang..
abang rindu sayang.
Fiya terima pesanan ringkasan itu, walaupun pada mulanya enggan melihatnya, namun kerana sayang Fiya membuka pesanan ringkas dari Haris..
"Biar dia rasa apa yang aku rasa,tak payah balas "rungut hati Fiya.


*************
Jam menunjukkan 1.15 pagi, Fiya sudah pun sampai di stesyen bas, kelihatan bapanya datang menjemput Fiya, dalam perjalanan pulang pakcik Jenal perhatikan anak gadisnya yang tidak ceria seperti biasa
"kamu ada masalah ke?
Fiya hanya menggeleng kepalanya
"barang-barang tu semua Sara dah gubah"
Sara sepupu Sofiya yang tinggal berdekatan di rumah Sofiya
"hmm ye ayah"
"hmm macam ada masalah dengan Haris je"ayahnya meneka
"Hish mana ada ayah"Fiya cuba menafikannya
"Kamu hendak menipu dengan siapa" ayahnya cuba mengorek
"yelah ayah Fiya mengaku, ada sedikit salah faham".
"saat-saat macam ni pun boleh bergaduh"tanya ayah fiya lagi.
"lebin baik sekarang, daripada sudah ada ikatan lagi susah nanti"jelas Fiya
Pak Jenal kenal benar anak gadisnya yang seorang ni, dia tahu Fiya pasti ada sebab kenapa segalanya berlaku. 




*****************************


Pada hari Ahad tiada persiapan kenduri seperti yang dirancangkan, tiada pakaian cantik yang dikenakan oleh Fiya, hanya barang hantaran terletak indah diatas katil milik Fiya. hati Fiya masih sedih mengenang detik itu, Fiya betul tak sangka semuanya berlaku. pada malam itu Fiya terlena dan termimpi ada sebuah keluarga datang  menghantar rombongan meminang dirinya, dan Fiya tidak mengenali ahli keluarga siapakah itu.
"Astarghfirullah, mimpi apa agaknya,sapa yang meminang aku" bisik hati Sofiya Kegelisahan..
Sofiya terus menlihat jam pada dinding, menunjukkan 2 pagi, tanpa berlengah Sofiya terus mengambil wuduk, dan melakukan solat hajat serta solat istikharah,
selesai solat Sofiya berdoa


Ya Allah, kepada mu hamba memohon petunjuk,
 andai Haris Bazli Engkau ciptakan buatku,
dan aku adalah untuknya,tetapkanlah jodohku bersamanya
hingga keakhir hayat kami, tapi seandainya dia bukan jodoh buatku
jauhkanlah dia dari hidupku, tp temukan aku jodoh yang lebih baik darinya
 sesungguhNya Engkau lebih Maha mengetahui..AMIN
Dan selesai solat sofiya terus tidur. dan bangun semula seawal 6 pagi untuk menunaikan solat subuh..


****************************
ketika jam menunjukkan jam 7.15 pagi, Sofiya membantu maknya membuat sarapan pagi, dan sedang asyik dengan kerjanya di dapur..
Tiiiiiiinnnn... bunyi hon Honda City berwarna perak, berhenti dihadapan rumah ayah Sofiya, 


"Sofiya tengok ni siapa datang pagi-pagi ni" laung ayahnya dari hadapan rumahnya
Sofiya yang tenang pada mulanya tiba-tiba berdebar-debar jantungnya kerana teringat mimpi malam tadi adakah menjadi kenyataan.
"ye ayah siapa yang datang ayah tu" tanya Sofiya
"yelah bang siapa pula yang datang rumah kita pagi-pagi ni." tanya mak sofiya yang juga keliru
"entah-entah ada orang nak masuk meminang agaknya" usik mak sofiya, umi aisyah nama sebenar mak Sofiya
" mak ni kan" Sofiya mula merasa malu dan berdebar.
dan bila pintu kereta itu di buka, alangkah terkejutnya Sofiya, nama lelaki yang sentiasa didalam doanya.. ada dihadapan rumahnya.. "MasyaAllah Engkau makbulkan doaku dan kekeliruanku diberikan petunjuk Oleh-Mu".bisik hati Sofiya
yang kemudian terus berlari anak ke dapur semula, degup jantung kali ini bertambah seakan mahu pengsan.


"Assalammualaikum Makcik dan Pakcik,kali ini saya datang ada hajat".luahan Haris
"ish..kot ye pun masuklah dulu, duduk dan bertenang, minum kopi dulu, makcik kau pun ada lah buat sarapan lebih, jemput masuk" Pakck Jenal melawa
Diantara Haris, mak dan ayah Sofiya sememangnya mereka sudah kenal lama.
" hajat apa tu,katakanlah" Ayah Sofiya menjawap sambil mengambil secawan kopi untuk di minum.
" pertama saya minta maaf kerana melakukan kesilapan pada Sofiya kerana tundakan rombongan meminang tu pakcik, saya perlukan masa untuk Sofiya bertenang" jelas anak muda ini.
" kedua saya mahu Sofiya Anna menjadi isteri saya yang sah, saya cadang majlis tunang dan nikah akan di langsung pada hari yang sama tapi berbeza waktu, yang iaitu pagi tunang dan terus upacara nikah dilangsungkan, petang  dalam jam 1.00 atau 2.00 petang pula majlis sanding semua itu di sebelah perempuan , untuk sebelah pihak lelaki pula dilangsungkan pada minggu hadapannya" jelas Haris berani dan bersungguh-sungguh, 
tiada bantahan yang keluar dari mulut ibu dan ayah Sofiya sepertinya tergamam bercampur gembira.
Untuk kali ini biar Sofiya tahu dia benar-benar ikhlas cintakan Sofiya Anna.


**************
Dengan izin ibubapa Sofiya, Haris pergi menyusur ke dapur mencari sofiya yang tidak muncul dari tadi sedari Sofiya ternampak Haris keluar dari kereta.
"Assalammualaikum..Sofiya Anna," Haris memberi salam 
"waalaikummussalam..eh abang"jawap Sofiya 
"Sofiya Anna" mata Haris tepat merenung redup mata Sofiya.
"Abang minta maaf sayang, Abang tak kenal hati sayang, Abang terlupa separuh hati sayang ada pada abang, maafkan abang sekali lagi, terimalah sayang cinta dan jodoh abang kali ini, abang tak mampu melalui sisa hidup tanpa sayang dihadapan mata abang, mcmana abang nak melaluinya sayang., sudilah menjadi permaisuri hati abang" airmata jantan kali ini benar-benar keluar dari mata kuyu Haris.


"Abang, terima kasih kerana menyimpan cinta saya di dalam hati abang, saya maafkan abang, sememangnya saya masih di sini menanti cinta abang.kerana disinilah kasih kita bermula. saya sudi menjadi permaisuri hati awak." tolong jaga dan bimbing saya, ye abang.. menjadi imam saya pada setiap solat saya dan sepanjang hidup saya, air mata kali mengalir gembira dan syukur jatuh ke pipi yg putih.
Sofiya bersyukur doanya didengari dan dimakbulkan." terima kasih YaAllah Anugerah ini" bisik hati sofiya dan Haris  -TAMAT-
Akhirnya hati mereka disatukan, cinta mereka di lafazkan, janji mereka dipadukan, kasih mereka disimpul mati.bertanyalah padaNya..kerana rahsia hati hanya ALLAH mengetahui...:)





 p/s: cerpen ini cerpen pertama saya, yang saya hasilkan dari nukilan saya sendiri, andai ada kekurangan didalam jalan cerita tersebut sila berikan komen yang membina untuk saya baiki mutu penulisan saya. .terima kasih                  






Friday, July 16, 2010

Buka matamu...

       Betapa hancurnya hati melihat si kecil itu, wajah kecil itu sudah tiada nilai lagi, bukankah hadirnya memberi seri dan pelengkap sesebuah kehidupan, bukankah wujudnya kerana kasih dan sayang, tapi kenapa diperlakukan bergitu, dimanakah nilai sifat kemanusiaan yang Allah anugerah pada kamu wahai insan. dimanakah perasaan belas kasihan andai hilang sudah ihsan itu.

     Sekecil itu tiada harga lagi, nyawanya bagai senang diganti dan dimasukkan semula, kehadirannya bagai mudah untuk terlaksana, apakah anak itu minta dilahirkan atau minta dijadikan, pasti kau tidak tahu jawapannya. pasti kau hanya tunduk kerana kekesalan, atas terlanjuran. ahh..andai asalan itu yang diberi dan  ketika itu kamu berada pada zaman jahilliah atau zaman yang tidak ada kemodenan, pasti aku terima alasan itu, pasti aku akur setiap ketentuan. Tapi kini segalanya ada dihujung jari, maklumat apa yang tidak ditemui asalkan niat untuk mengetahui ilmu Allah mudah didapati terpulang bagaimana cara untuk mengetahui, pasti kekeliruan dapat diatasi bagaimana persenyawaan boleh terjadi, namun kesalahan adalah apabila menyeleweng peluang yang diberikan, kepercayaan sering ikhianati, memberi kasih tanpa mengenal kepada siapa yang patut diberi, ilmu agama pula kamu tidak peduli maka terjadilah bergini, kelahiran anak yang tidak disengajakan.. tidak sengajakah itu..


      Bukalah mata dan dilihatlah, tanyalah pada diri sendiri layakkan kamu menikmati hidup sedang kamu tidak memberi peluang untuk anak kamu menhirup walau senafas pun, layakkah kamu diberikan akal andai akal kamu tidak digunakan.. bahagiakah hidup kamu, sedangkan kamu sudah menjadi pembunuh. membunuh bayi yang tiada daya melawan, sekali pun hanya naikkan kelopak matanya, bayi itu tidak berdaya, kejamnya kamu sungguh kejam.. cuba kamu tukar tempat dengan bayi itu,dan ketika ini ibu kamu yang membuang atau membunuh kamu, apa yang kamu rasa sekarang..pasti kamu dapat jawapannya.


      Kamu tahu bukan mudah untuk mendapat zuriat sendiri, adakala hanya memakan hati bila usia perkahwinan semakin meninggi, dan usia kesuburan semakin menurun, kamu tahu lagi amat payah untuk melahirkan anak, kadang-kadang pelbagai kompilasi berlaku, adakala diuji Allah dengan pelbagai kesakitan dan kekurangan fizikal, namun kami masih bersyukur kerana masih mampu hamil dan melahirkan kerana ada insan yang tiada peluang langsung utk merasai nikmat Allah itu. dan kamu cukup beruntung kerana cukup mudah bagi kamu untuk hamil dan melahirkan, hanya didalam tandas, semak dan tempat yang tidak berdaftar kamu sudah boleh melahirkan, cukup mudah bukan, Allah menduga kamu bagi mereka yang melakukan zina. tidak sedarkah kamu, itu adalah dugaan Allah yang memberi kemudahan untuk kamu agar terlupa bersyukur, Dan Allah melenyapkan nikmat kesakitan ketika kehamilan dan melahirkan agar kamu terleka dengan dunia kamu yang kamu ciptakan sendiri dan kamu terus melakukan dosa.


     Sememangnya benar bahawa aku atau sesiapa tidak boleh menghukum kamu, hanya Allah lebih berhak menghukum kamu, tapi kami juga mempunyai hak, hak sesama manusia, yang mungkin kamu lupa, ingatlah kehidupan ibarat roda..dan kamu mesti pastikan dimana putaran diatas akan terhenti, kerana diakhirnya nanti kamu akan sesali dan ketika itu hanya kamu dan Allah mengetahui

Thursday, July 15, 2010

Bila cinta tak kesampaian...

     Berlabuh sudah tirai kerinduan tika malam melabuhkan kegelapan, unggas mula pulang ke sarang, pungguk mula menanggung rindu, gerakkan hati kian terdetik  mencari cahaya bayangan didalam kegelapan, lewat tika ini aku dambakan setiap detik waktu yang berlalu, agar nurkasih menyinar dicelah kegelapan..biar menjadi ketentuan dalam memendam resah kerinduan siapa tahu itu suratan nasib hidup setiap insan dalam melayarkan bahtera kehidupan.

     Andai kembalimu kini meraih janji cinta suci yang mengutus di hati ini, akan aku serah segala cintaku pada yang Maha Pecipta kerana hanya DIA yang tahu rahsia cinta hati ini. Hakikat kesan cinta benar-benar mencabar keteguhan hati dalam mengimbas nostalgia cinta. Tiada yang lebih menyiksakan bila kasih itu tak kesampaian, dan cinta juga telah menyatukan kita semula dari terhimpit oleh kepalsuan cinta
      
      
 Jika impian kita tidak lagi sehaluan, kita sama-sama jadi  dewasa dalam menghadapinya. dan segalanya terjawab juga persoalan namun harus ditelan walaupun pahit yang dirasakan, tiada yang lebih pedih bila cinta itu tidak kesampaian dan harus diingat takdir hidup dan juga pilihan adalah berlainan bagi setiap insan. Biarpun tiada lagi cahaya suci namun aku pasrah tiada lagi kesedihan akibat  panahan cinta yang  benar-benar menusuk jauh ke dasar hatiku.
          
    Detik waktu tidak mungkin berundur walau selangkah, kerana suratan takdir sudah dibacakan dalam maya kesamaran. Andai cahaya itu memancarkan heningnya, pasti cahaya cinta suci yang abadi itu  terbit dari ketulusan jiwamu. Biarlah sinaran pelangi mula merasakan perasaan rindu ini kerana aku tidak mampu mengejar bayanganmu.

       Bolehkah aku bertanya padamu dari manakah bermula sayangmu itu adakah dari bisikan mesra atau pandangan pertama, kerana hati ini pernah menjadi milikmu, Perasaan ini juga pernah mengusikku dahulu, tiada gambaran lain melainkan ingin kekal dihatimu. Biarlah malam mentertawakan aku, biarlah tubuhku dimamah kerinduan namun untuk membuang segala kenangan itu, tidak mungkin aku lakukan. bukan mudah melepaskan cinta jika gagal mengamit keindahan.

      Wahai kasih sambutlah tanganku kerana aku tak mahu terlepas kerana cinta yang tidak kesampaian, kerana bukan mudah untuk aku melafazkan cinta jika hati aku tidak tersentuh dek cintamu.

Wednesday, July 14, 2010

Bahagialah disana...

         Betapa indahnya pendirianmu, betapa kuatnya semangatmu memperjuangkan islam. Tabahnya hatimu serta cekalnya jiwamu meletak Allah dan pesuruhNya Nabi Muhamad kekal bersemadi dihati, hebatnya keluargamu seiring dengan perjuanganmu mempertahankan iman tika jahiliah membelenggu keteguhan pada pendirian dan berani menempuh apa jua ujian.

       Wahai Sumayyah, disebalik kelembutan hatimu  terselit juga kekuatan iman yang teguh. Kesabaran serta ketabahan Sumayyah dan keluarga di uji apabila diseksa ditengah padang pasir yang panas dan amat terik, tika suami dan anak mengadap mentari  disuruh memilih antara iman dan kekufuran, mereka masih pada pendirian mereka dan  iman mereka sedikitpun tidak berubah,  hati Sumayyah hancur melihat suaminya Yasir akhirnya menghembuskan nafas dengan cara yang bergitu dan akhirnya pergi meninggalkan dunia kerana tiada daya atas seksaan itu, namun jauh disudut hati Sumayyah, dia gembira kerana suaminya pergi demi menegakkan agama yang tercinta.

      Lembutnya tangan  yang menghayun buaian ini telah mengoncangkan dunia dengan  mencipta sejarah islam. Keteguhan imanmu mempertahankan agama demi memperjuangan islam menjadi lambang wanita solehah. Sinar akidahmu menjemputmu ke syurga tatkala Sumayyah dibunuh dan ditikam dengan mengunakan tombak pada jasadnya lemah itu, namun pada hatinya masih kuat mepertahankan islam dan iman, dijiwanya pula masih teguh pada pendirian iaitu TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH, DAN NABI MUHAMAND ITU ADALAH PERSURUH ALLAH. Bersabarlah keluarga Yasir kerana tempatmu adalah disyurga kerana perjuanganmu yang utuh mempertahankan islam.

     Hebat bukan wanita itu, kesucian hati dan kekuatan jiwanya memang diakui. beliau adalah lambang wanita solehah. Kesabaran yang tinggi menjadi perisai untuk mempertahankan apa yang diperjuangkan, kekentalan semangat untuk keluar dari kejahilan dan menuju kearah kebenaran akidah dicemburui org yang bukan islam. sememangnya hati itu milik Allah. dengan kekuatan mengingati Allah, maka Allah memberikan kita kekuatan dalam menempuhi segala dugaan dariNya. tersentuh hati bila membaca kisah sumayyah, tiba-tiba mengalir airmata kerana gembira,  kerana dipenghujung kesudahannya Sumayyah masih kuat mempertahankan imannya walaupun terpaksa mengorbankan nyawanya. dan syurga adalah tempat yang sebaik-baik baginya. TAMAT

Tuesday, July 13, 2010

Indahnya kenangan

        wahai kenangan indah sungguh diakalku, sering menerjah dipemikiranku,  kenangan itu adalah bila kita tersedar bahawa kita sebenarnya telah dilahirkan..Bermula pada tarikh itulah terciptanya kenangan. Tidak kiralah sebesar mana pun kita ketika itu,  diusia itulah kita mula mengingati banyak perkara, tentang hidup, tentang semangat dan kita juga diberi rasa dengan rasa itu kita mula merasa, tentang kecewa mahupun gembira.. semua itu pasti dilalui dan dirasai ketika sedang dalam proses pembesaran berjalan dalam meniti alam remaja,

       Setiap kenangan akan aku simpan rapi untuk aku bekalkan pada anak-anak nanti, pengalaman mengajar aku erti kehidupan dan kenikmatan dalam menempuh kehidupan yang mendatang. Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dari segi harta, cukup membuat aku menghargai setiap peluang yang datang, Bagi aku tiada yang lebih baik dari cuba yang  untuk jadi yang terbaik, pengalaman juga bagai musuh untuk kita kenal lebih dalam siapa kita sebenarnya, kerana semakin banyak pengalaman semakin sukar untuk kita memahami kehendak hati kita.

       Ibu dan ayah adalah orang yang pertama berada disetiap pengalaman, ketika remaja mengisi ruang usia,  tiada yang lebih berbekas dikotak minda kita dari kesan luka dan ianya pastilah pengalaman-pengalaman di zaman remaja.  hakikatnya demi Allah aku bersykur pada petunjukNya meskipun ketika itu  dosa bagaikan setiap hari aku pinta, namun aku masih lagi ada dilindungiNya ini kerana doa-doa ibu dan ayahlah serta petunjuk dariNya  aku terselamat dari kegagalan hidup. Alhamdulillah.

     Hari ini aku tekad untuk mencapai setiap keinginan Arwah abah untuk melihat aku  menjadi seorang penulis seperti adiknya Jamaluddin Iman ( yang sudah bersara dari wartawan), ketika kecilku arwah sentiasa memuji adiknya yang cukup berbakat dalam penulisan. Arwah juga sering menunjukkan pada aku cara adiknya menulis di akhbar-akhbar. Aku masih kecil ketika itu hanya sikap acuh tak acuh menyebabkan abah tak yakin pada kemampuanku, pada hakikatnya aku mula membaca sajak-sajak yang ditulis oleh sasterwan-sasterawan negara hinggalah menjadi satu minat dalam diri ini, hari ini anakmu sudah memulakannya, walaupun abah tak berkesempatan menyaksikannya nanti, InsyaAllah akan anakmu genggam semangat dan perjuanganmu yang sememangnya murni di mata anak-anakmu..semangat abah cukup hebat dimataku dan itu perlu aku akui..

      Baru aku tersedar, pegalaman juga mendewasakan kita dalam mencari sesuatu yang kita hilang, hilang setelah kehilangan adalah sesuatu yang sukar untuk disahihkan dalam kehidupan, kehidupan bagai putaran roda yang sentiasa berputar dan berhenti ditempat yang tak tercapai dek akal.. sesuatu yang tidak dijangka  bukanlah pekara yang dapat dikutip dan disimpan lalu digunakan jika perlu, tapi sesuatu yang mesti ditempuhi dengan redha..kerana kehidupan indah hari ini berdasarkan pengalaman pahit yang lepas, yang pasti pahit itulah adalah penawar bagi keindahan hari ini..

       Percayalah kekuatan seseorang itu juga hadir dari pegalaman... jangan takut menempuh pengalaman.kerana dari pengalaman lalu terbinanya keyakinan untuk hari ini...

Monday, July 12, 2010

cinta yang indah..

             Bila takdir menyatukan cinta, laksana hati bercantum menjadi satu, cinta dan rindu bagai irama dan lagu berkumandang dengan irama yang mengasyikkan,  tak mungkin terpisah menlainkn takdir yg menentukan perpisahhan itu... itulah hakikat cinta yg berkuasa menakluk jiwa, cinta itu indah jika bijak memahami tentang cinta, namun cinta juga bagaikan racun yang akan memakan diri jika gagal mendalami erti cinta itu sendiri, sehebat mana seseorang itu belum tentu mampu menguasai cinta, terkadang apabila kuasa cinta mampu menguasai diri, maka hilanglah kewarasan akal kerana hati sudah dipandu oleh nafsu serakah,  bergitulah hebatnya bila cinta menjadi besar kuasanya terhadap akal manusia maka hilanglah cinta kita  pada Pada Maha Pencipta, kerana segalanya dilakukan kerana cinta bukan kerana Allah...

           Duhai cucu Adam, kasihnya Adam dan Hawa  bermula bila rindunya Adam teringin berteman didalam syurga yang indah itu, malu ingin meminta pada Allah, hanya terdetik dalam hati keinginannya itu,  maka sesuatu yg  terdetik dihati Adam telah didengari oleh Allah SWT, Maka Allah bersetuju mencipta makhluk yang sama tapi berlainan jenis,  Terciptalah Hawa  yang diciptakan oleh Allah dari tulang rusuk kiri Nabi Adam yang diambil oleh Malaikat Jibril ketika Nabi Adam sedang nyenyak tidur hatta terjaga dari tidurnya Nabi Adam amat kejut kerana ada seorang gadis yang dicipta oleh Allah  yang sempurna ciptaanNya ada sifat malu serta cantik paras rupa telah diberikan nama Hawa  iaitu seorang wanita cantik penghias syurga. Maka bermulalah episod cinta yang disaksikan para malaikat diikuti bidadari-bidadari yang diutuskanAllah untuk menjadi saksi cinta mereka berdua.. Ketika itu tiada siapa yang menganggu melainkan syaitan..syaitanlah yang merosakkan hati dan nafsu manusia, serta berusaha mahu memperdayakan manusia sehingga terleka dari dikuasai oleh bisikkan syaitan yang direjam, cinta pada manusia jika dilakukkan dengan niat kerana Allah dan kerana ingin mendapat keberkatan Allah, pasti perjalanan cinta itu akan diredhai dan berkekalan hingga kehujung usia...


   Indah bukan kisah Adam dan Hawa, bagaimana terciptanya manusia yang bersih dari akal dan hati, jika di lihat kisah mereka kita seakan dapat merasakan bergitu kehidupan mereka itu adalah cinta mereka,  segalanya berlaku secara semulajadi dan tidak perlu dipaksa-paksa, sesungguhnya Allah maha mendengar suara hati hambaNya, Allah mengatur  kehidupan manusia juga cukup sempurna dan cinta itu akan hadir bila tiba masa dan ketikanya...kehadiran Hawa itu juga sesuatu yang tidak dijangka oleh Adam, pastinya cinta adam dan hawa amat suci  anugerah penciptaNya. Namun  sukar untuk kita menilai dan membandingkan dengan kehidupan kita ini dewasa ini, cuma apa yang  kita boleh berfikir sejenak bagaimana cinta bermula..siapa yang layak menilai cinta, dan siapa yang akan memberikan kita cinta itu, pasti kita akan dapat jawapan andai kita kembali dari mana kita bermula...

 Janganlah mempertikaikan dengan siapa yang layak utk dicintai tp cubalah berfikir seketika kepada siapa harus mendapatkan cinta dari kita... kerana hati ini milik Allah, dan hanya Allah yang tahu dengan siapa yang selayaknya buat kita..... jadi pohonlah padaNya agar jodoh itu datang dariMu Ya Allah..
Ana Sarina Abu Bakar

luahkan rasa....

buahatiku

Lilypie Kids Birthday tickers
Lilypie Kids Birthday tickers

ikatan kasih

Daisypath Anniversary tickers